Sunday, December 12, 2010

::: awnaa in da news for KIK Team NEXUS :::


Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak


ARKIB : 08/12/2010

Nexus, Dinamik ungguli Konvensyen KIK Universiti Malaysia Sabah

KOTA KINABALU 7 Dis. - Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat julung kalinya menganjurkan Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dalam usaha menjadikan universiti tersebut sebagai sebuah universiti penyelidikan.

Selain dilihat sebagai langkah terbaik meningkatkan inovasi dan perkhidmatan profesional di kalangan kakitangan, konvensyen tersebut turut digunakan sebagai salah satu kaedah untuk UMS mengiktiraf para pekerjanya.

Menerusi konvensyen KIK tersebut, dua kategori telah dipertandingkan iaitu pengurusan dan teknikal.

Kategori pengurusan merupakan projek yang berkaitan dengan hal-hal pentadbiran atau sistem prosedur, manakala kategori teknikal melibatkan projek yang menggunakan bidang pengetahuan tertentu seperti kejuruteraan, seni perusahaan dan sains gunaan.

Kumpulan Nexus dari Jabatan Pendaftar muncul sebagai johan kategori pengurusan, manakala Kumpulan Dinamik dari Fakulti Perubatan dipilih sebagai johan kategori teknikal.

Naib johan bagi kategori pengurusan disandang oleh Kumpulan Integrity dari Fakulti Perubatan dan tempat ketiga dimenangi oleh Fast and Accurate dari Pusat Perkembangan Akademik.

Namun begitu, tiada pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kategori teknikal.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, piala dan sijil, sementara naib johan menerima wang tunai RM2,000, piala serta sijil.

Bagi Anugerah Inovasi Harapan, Kumpulan Pascasiswazah dari Pusat Pengajian Pascasiswazah dipilih sebagai pemenang kategori pengurusan, manakala M'Tech dari Fakulti Perubatan pemenang kategori teknikal.

Sementara itu, anugerah fasilitator terbaik kategori pengurusan dimenangi oleh Awina Kamis dari Kumpulan Nexus dan Nurul Izza Md. Nordin dari Kumpulan Dinamik dipilih sebagai fasilitator terbaik kategori teknikal.

Pemenang Anugerah Inovasi Harapan membawa pulang wang tunai RM500, piala dan sijil.

Panel penilai diadili oleh pegawai dari Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) dan Sirim Bhd. (SIRIM).

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon berkata, penganjuran Konvensyen KIK julung kali itu dilihat satu lagi usaha pihak universiti untuk terus maju mencapai kegemilangan.

Katanya, pelbagai ilmu pengetahuan serta teknik dapat diperoleh semua peserta sepanjang konvensyen tersebut, sekali gus dapat diaplikasikan dalam tugas seharian.

"Ia memberi peluang kepada peserta untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan dan seterusnya melaksanakan tindakan yang diputuskan secara berpasukan," katanya ketika berucap pada majlis penutup di sini, baru-baru ini.

Selain itu, katanya, KIK juga mempunyai prinsip asas yang mengiktiraf kakitangan sebagai sumber yang paling bernilai dalam sesebuah organisasi."

No comments: